Friday, March 25, 2011

Earth Hour

Jangan lupa Earth Hour, 26 Mac 2011 ini. Bergelap untuk sejam sahaja.

We love our planet....

Monday, March 21, 2011

Conserve Water

Kecoh di akhbar ketika ini tentang isu rakaman seks terbaru pemimpin berprofail tinggi. Ah, mengarut semua itu. Ini hal yang lebih mustahak, yang lebih berpijak di bumi nyata.

Isu alam sekitar.

Kalau disebut tentang hal alam sekitar, isu sampah, oksigen, 'ecological footprint', 'peak oil', pencemaran laut dan 'declination of animal species' antara isu yang pernah saya ketengahkan di dalam blog ini.

Kali ini saya memilih isu air mentah, yang kita gunakan sehari-harian untuk berwudhu', minum, memasak, mandi, membasuh dan sebagainya. Timbulnya idea untuk menulis hal tentang air ini setelah saya membaca akhbar MStar online bertarikh 21 Mac 2011 (bertajuk Bandar Semakin diancam Krisis Air) di dalam segmen Rencana. Sebagai alternatif, saya akan sediakan salinan artikel tesebut di penghujung entri ini.

Kalau di dalm AL-Quran, banyak elemen air diketengahkan sebagai ganjaran kepada umat Muhammad sallallahualaihiwassalam yang beriman kepadaNya. Didikan kepada kanak-kanak juga, air adalah elemen yang sangat penting untuk semua hidupan. Saya masih ingat semasa di usia kanak-kanak lagi sudah dijelaskan tentang kepentingan air. Tanpa makanan, manusia mampu hidup selama kira-kira seminggu lamanya. Tapi, tanpa air manusia hanya mampu hidup selama kira-kira dua tiga hari sahaja. Jika kita hendakkan ketenangan pun, biasanya kita mencari lokasi kawasan peranginan yang punya elemen air. Ianya lebih menarik berbanding kawasan peranginan yang kering dan tandus tanpa cecair ini. Jadi ini sudah cukup menerangkan kepentingan air. Air bukan sahaja untuk kita gunakan secara langsung dalam rutin seharian, tepai juga secara tidak langsung dalam pertanian, perindustrian, terapi dan pelancongan.

Dan situasi kita sekarang tidak menyebelahi air. Saya suka salah satu fakta di dalam artikel yang dicadangkan tadi bahawa kemajuan dan kejayaan pengurusan air telah ditutup oleh pertambahan populasi dan peningkatan penggunaan sumber air yang luar biasa.

Pada saya, itu bukanlah satu kejayaan. Sesuatu kejayaan itu bukan menggunakan nilai dan kayu ukur masa lalu sebagai tahap yang perlu dicapai tetapi perlu mempunyai capaian anggaran masa hadapan. Apa guna kita menyediakan perancangan pengurusan yang berasaskan angka-angka dan maklumat yang sudah lapuk, ataupun yang kita pasti tahu akan lapuk?

Tidaklah bermakna saya menafikan usaha yang dijalankan jabatan berkaitan berkenaan pengurusan air.

Di sini saya melihat kekurangan dari sudut pendidikan. Pengurusan kita hanya memberikan penekanan aspek kejuruteraan, teknologi dan segala bagai kecanggihan sistem tetapi mengabaikan pendidikan terhadap meningkatkan kesedaran main player dalam industri ini iaitu - pengguna.

Oleh kerana itu saya lihat individu dengan status Profesor dan Eksekutif syarikat-syarikat ternama masih lagi mempunyai pandangan remeh terhadap masalah air. Bayangkan seorang yang berpendidikan PhD masih mempunyai persepsi 'Ala, kita bayar air ni. Guna je banyak mana pun.' Tak kurang ada juga yang berkata 'Air free kat tempat ni. Guna je lah.' Berbeza bidang atau latar belakang kepakaran bukan satu alasan, kerana kelompok ini banyak membaca. Adakah kerana mereka ini hanya mahir di bidang ekonomi ataupun sains gunaan, mereka tak tahu kepentingan menjimatkan air? Saya sendiri pernah dimarah oleh ahli keluarga kerana membuka paip air sedikit sahaja semasa membasuh pinggan. Kedekut katanya pada saya.

Aduhai, sedihnya saya.

Ini bukan soal kedekut. Saya punya kesedaran. Saya perlukan air mentah untuk beribadat, mandi, minum dan sebagainya pada masa akan datang. Untuk kegunaan masa depan, saya perlu berjimat sekarang. Berjimat, bukan hanya berkisarkan duit. Tapi ialah sumber. BERJIMAT MENGGUNAKAN SUMBER.

Jadi, peri pentingnya kesedaran menjimatkan air ini amatlah tinggi. Sekiranya pembaca merasakan penting untuk menjaga masa depan sendiri, saya harapka semua dari kita akan memupuk kesedaran berjimat menggunakan sumber. Jangan membazir.

Saya tak punya isi untuk dikupas berkenaan permasalahan air, tapi saya suka untuk mengisi blog ini dengan artikel yang dicadangkan. Berdasarkan pemahaman ringkas saya, artikel ini amat berguna untuk menunjukkan status semasa air di Malaysia dan dunia. Diharapkan kesedaran pembaca dapat dipupuk daripada artikel ini.

Wallahua'lam...


Isnin Mac 21, 2011
Bandar Semakin Diancam Krisis Air

KUALA LUMPUR: Menurut ramalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semakin ramai orang tinggal di bandar berbanding desa.

Pada penghujung 2008, dianggarkan kira-kira separuh daripada penduduk dunia iaitu lebih tiga bilion menjadi penghuni bandar.

Setiap saat, penduduk bandar bertambah dua orang. Menjelang 2050, kira-kira 70 peratus penduduk dunia akan menjadikan bandar sebagai kediaman mereka! Anggaran PBB yang terbaru menunjukkan penduduk dunia dijangka meningkat kepada 9.2 bilion pada 2050.

Air dan sanitasi dilihat sebagai dua cabaran utama untuk kesinambungan hidup penempatan manusia di bandar sehingga ada pakar yang berkata bandar akan menjadi porak peranda jika tidak ada bekalan air minuman yang bersih serta sanitasi yang mencukupi.

Perangkaan PBB menunjukkan antara 1998 dan 2008, kira-kira 1.052 bilion penduduk bandar mempunyai bekalan air minuman yang semakin baik kualitinya sementara 813 juta lagi memperoleh kemudahan sanitasi.Bagaimanapun, dalam tempoh itu, penduduk bandar melonjak kepada 1.089 bilion orang sehingga menjejaskan kemajuan yang dicapai.

Menurut data PBB itu lagi kira-kira 27 peratus daripada penduduk bandar di negara sedang membangun tidak mempunyai akses kepada air paip di rumah mereka.

Tekanan Air

Banyak bandar di seluruh dunia kini berdepan dengan kemelut air. Pakar-pakar berpendapat menangani masalah permintaan air yang semakin meningkat di dalam kawasan bandar adalah satu daripada isu paling mendesak abad ini.

Prof Dr Chan Ngai Weng dari Universiti Sains Malaysia berkata di India umpamanya, majoriti bandar di negara itu tidak mendapat bekalan air 24 jam, dengan puratanya hanya memperoleh air selama beberapa jam sehari.

"Sesetengah bandar tidak mendapat air yang mencukupi. Golongan miskin di bandar terutamanya yang tinggal di kawasan setinggan dan yang sesak dan kotor tidak mempunyai bekalan air paip.

"Mereka ini terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk membeli air dalam botol," beliau memberitahu Bernama, dengan menambah amat bertepatan sekali untuk sambutan Hari Air Sedunia tahun ini memilih tema "Air untuk Bandar".

Menurut Dr Chan, memandangkan kemelut air pada masa ini, semakin terdapat keperluan untuk mengamalkan pengurusan permintaan air.

Ini katanya adalah untuk semua pengguna termasuk rumah kediaman, hotel, premis perniagaan, kilang, sekolah, universiti dan jabatan kerajaan.

"Jumlah air adalah terhad sejak Bumi wujud lagi, maknanya kuantitinya tidak berubah mungkin bentuknya sahaja yang berubah. Air hanya dikitar semula secara semula jadi menerusi apa yang dipanggil sebagai Kitaran Hidrologi juga dikenali sebagai kitaran air.

"Bagaimana pun bilangan penduduk terus menerus bertambah. Aktiviti pertanian dan perindustrian turut berkembang bagi menampung keperluan manusia untuk makanan serta bahan-bahan lain. Ini menjadikan bekalan air sering tidak dapat memenuhi permintaan.

"Oleh sebab itu jumlah air di masa depan (yang sama dengan apa yang ada pada hari ini) akan terpaksa dikongsi dengan orang baru (bayi yang bakal dilahirkan di masa depan) dengan orang yang ada sekarang.

"Paling getir lagi, manusia mungkin terpaksa bersaing dengan aktiviti pertanian dan perindustrian untuk bekalan air," kata Dr Chan yang juga Presiden Water Watch Penang, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memberi tumpuan untuk mewujudkan kesedaran pemuliharaan sumber air dalam kalangan orang ramai.

Permintaan Tinggi

Di Malaysia, dianggarkan antara 65 hingga 70 peratus daripada 28 juta penduduk di negara ini tinggal di kawasan bandar dan kemelut air semakin ketara akibat permintaan tinggi untuk kegunaan domestik dan bukan domestik.

S. Piarapakaran, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) memberitahu Bernama kebanyakan bandar di negara ini terletak jauh dari loji perawatan air.

Sebilangan kecil sahaja bandar di Malaysia, katanya mempunyai kemudian seperti ini dan memberikan Taiping sebagai contoh.

Bagaimanapun, katanya kawasan tadahannya iaitu Bukit Larut yang terletak di tengah-tengah bandar kini diancam oleh pembangunan. Lebih daripada 200,000 penduduk bergantung kepada sumber air ini, tambahnya.

Bercakap pula mengenai Kuala Lumpur, beliau memberitahu bahawa bandar metropolitan ini bergantung sepenuhnya kepada Selangor untuk bekalan air.

"Kos membawa air terawat daripada lokasi yang jauh ke kawasan permintaan yang tinggi adalah sangat mahal. Ini disebabkan perbelanjaan modal serta operasi seperti kos tenaga, perpaipan dan buruh. Bagaimanapun di Malaysia semua kos ini disamaratakan sebagai tarif," jelas Piarapakaran.

Isu Pencemaran

Bagi sumber air seperti Sungai Klang yang mengalir melalui bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Puchong, Klang dan Pelabuhan Klang, airnya tidak sesuai untuk dirawat bagi sumber bekalan air.

Ini disebabkan kadar pencemaran yang tinggi yang dilepaskan oleh semua peringkat masyarakat dan industri ke dalam sungai itu.

Menurut Piarapakaran, keadaan itu akan hanya memburukkan lagi masalah kekurangan sumber air.

Tambahan pula, katanya semakin banyak sungai menjadi tercemar dengan cepatnya dan dengan peningkatan ekonomi, permintaan dan populasi, bandar selalunya mengalami risiko kekurangan air dan krisis air yang lebih meruncing.

"Ini bukan sahaja disebabkan kekurangan sumber air tetapi juga margin simpanan yang tidak mencukupi bagi perawatan dan bekalan air justeru perancangan yang teliti amat penting.

"Contohnya, jika terdapat gangguan bekalan air untuk sehari dan loji perawatan hanya mempunyai lima peratus margin simpanan, adalah mustahil untuk sistem bekalan air memenuhi semua reservoir perkhidmatan, tangki simpanan dan memenuhi permintaan seharian dalam masa yang sama sebaik sahaja bekalan air pulih.

"Ia akan mengambil masa beberapa hari untuk mengisi penuh semua tangki dan reservoir bagi menjamin bekalan air," tambahnya.

Piarapakaran memberitahu Bernama bahawa situasi seumpama itu pernah berlaku semasa penutupan Loji Semenyih pada September 2010 disebabkan pencemaran serta kerja-kerja penyelenggaraan di Pulau Pinang pada Disember 2010.

"Keadaan seperti ini akan lebih menjadi-jadi di bandar jika sistem perawatan dan bekalan air tidak mengambil kira margin simpanan yang perlu diperuntukkan.

"Untuk itu, kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah dengan mewartakan semua sungai dan lembangannya termasuk kawasan tadahan daripada ancaman pembangunan. Kawasan yang ingin dibangunkan mestilah mempunyai standard pelepasan air sisa yang lebih ketat.

"Sebarang projek baru atau industri mesti patuh kepada standard yang lebih ketat. Ini akan dapat mengurangkan tahap pencemaran. Jika kita tidak bertindak dari sekarang, kita mungkin terpaksa berbelanja berbilion ringgit untuk kerja pemulihan di masa depan," tegasnya.

Air Toksik?

Apakah air minuman kita bertoksik? Piarapakaran segera menjawab "Tidak".

Beliau turut berkongsi dapatan tinjauan yang dijalankan AWER baru-baru ini yang menunjukkan kebanyakan syarikat penapis air ada memasukkan bentuk maklumat atau iklan yang agak menyelirukan mengenai penapis air.

"Penapis air kini menjadi gaya hidup di bandar. Ini turut melibatkan dakwaan kesihatan, bekalan air yang bertoksik dan tenaga yang boleh diperoleh dari air. Hanya sains yang dapat membuktikan dakwaan-dakwaan itu. "Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah melantik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan pemantauan kualiti bekalan air secara berkala.

“Bagaimanapun, laporan pematuhan berdasarkan pencapaian setiap negeri tidak dilaporkan untuk makluman umum," katanya.

Beliau lalu mencadangkan supaya KKM menambah persampelan rawak berbanding membuat persampelan di lokasi yang tetap yang dilaksanakan sekarang.

Tambahnya saiz persampelan juga patut memberi gambaran jumlah penduduk yang semakin meningkat. "Ini untuk memastikan hasil yang lebih tepat berdasarkan kualiti air minuman yang diambil dari lokasi air bermeter.

"Laporan mengenai pematuhan kualiti air juga patut dihebahkan untuk makluman umum. Orang ramai boleh membuat penilaian sendiri mengenai kualiti perkhidmatan serta kemampuan operator air," katanya.

Standard WHO

Menurut Piarapakaran, air minuman di Malaysia mengikut standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu air terawat tidak akan dibekalkan kepada pengguna sekiranya tidak sesuai untuk tujuan diminum.

Beliau turut menjelaskan bahawa operator air hanya bertanggungjawab ke atas kualiti bekalan air sehingga ke meter air untuk perumahan biasa serta meter pukal bagi bangunan bertingkat.

"Selepas lokasi-lokasi ini, kita sendiri memikul tanggungjawab sebagai pengguna," katanya.

Dalam sistem bekalan air, perpaipan yang lama serta kebocoran sememangnya menyumbang kepada kemerosotan kualiti air dan operator air bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama Piarapakaran turut memperingatkan bahawa sistem perpaipan dalaman dan tangki simpanan di rumah kediaman perlu diperiksa dan diselenggara secara berkala.

"Kebanyakan kita tidak melakukannya. Untuk itu, pengguna dinasihatkan memeriksa keadaan perpaipan dalaman dan tangki simpanan di kediaman mereka sebelum memasang penapis air atau membuat aduan kepada operator air mengenai kualiti air yang rendah," katanya.

Impak Paip Usang

Menurut Laporan Malaysian Water Industry Guide 2010, sejumlah 127,275 kilometer paip telah dipasang dan berfungsi di Malaysia pada 2009.

Laporan yang sama merekod hanya terdapat 32,693 kilometer paip di Malaysia pada 1983.

Paip-paip itu juga perlu diganti secara berkala berdasarkan tempoh hayatnya.

"Bandar-bandar lama masih mempunyai sistem perpaipan yang sudah usang. Keadaan semakin mencabar untuk operator air menyelenggara paip-paip ini kerana faktor lokasi dan ruang yang terhad atau untuk memindahkan paip akibat pembangunan.

"Pelaburan besar diperlukan untuk melaksanakan program penggantian paip lama dan biasanya ini dibuat secara berperingkat.

'Paip rosak disebabkan karat, retakan dan kemalangan. Ini juga memberi impak langsung ke atas kualiti air minuman," katanya.

Kerosakan pada paip turut meningkatkan paras Air Tidak Terhasil (NRW). Menurut Malaysian Industry Guide 2010, purata NRW direkod pada 2009 ialah 36.63 peratus berbanding 36.93 peratus pada 2008.

Kehilangan Air

Jumlah kehilangan air terawat akibat NRW ialah kira-kira 1.8 bilion meter padu pada 2009.

Menurut Piarapakaran, berdasarkan kajian AWER, jumlah kerugian kewangan akibat NRW di Malaysia dianggarkan RM1.62 bilion pada 2008 dan RM1.64 bilion pada 2009.

Katanya, jumlah pendapatan bagi sektor perkhidmatan air pada 2009 ialah RM3.93 bilion. Ini bermakna kerugian kewangan disebabkan NRW adalah kira-kira 41.7 peratus dari jumlah pendapatan berdasarkan kajian AWER.

"Jika NRW boleh dikurangkan lagi, ini akan meningkatkan pendapatan bagi sektor perkhidmatan air dan seterusnya meningkatkan kedudukan kewangan operator air supaya operasi sektor ini lebih lestari.

"AWER juga berharap semua operator air dilesenkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi memastikan program NRW tidak menjadi terlalu mahal.

"Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan memainkan peranan utama dalam memastikan program NRW tidak memberi impak besar ke atas tarif. Ini hanya boleh berlaku jika operator air dikawal selia sepenuhnya.

"Pengurangan NRW serta program penggantian paip sudah tentu akan meningkatkan kualiti air dan membantu menstabilkan kadar tarif. Ini antara lain kerana pengurangan kos perawatan, peningkatan pendapatan serta pengurangan dalam kos operasi," kata Piarapakaran. - BERNAMA

Monday, March 14, 2011

Material vs Masa vs Peluang

Ini kisah orang kebanyakan yang makan gaji (seperti saya).

Ada orang punya duit berkepuk-kepuk kerana kerjaya.
Pulangannya dia tidak punya masa untuk masa lapangnya. Habis masa untuk mencari nafkah. Kalaupun punya masa, sangatlah sedikit.
Perkaitan ini normal...

Ada orang punya masa yang begitu banyak untuk diluangkan untuk orang-orang tersayang.
Balasannya, dia pasti kurang masa untuk mencari rezeki. Maka kurang teballah poketnya.
Perkaitan ini normal...

Akan tetapi, ada orang punya duit dan masih punya masa lapang yang begitu banyak untuk pelbagai aktiviti lain. Negatifnya, ini tak normal. Bahasa motivasinya, ini luar biasa.

Kata kawan saya, "Orang jenis ketiga tu terima rasuah". Hehehe...

Kebijaksanaan kita membahagikan masa, menggunakan masa untuk perkara yang tertentu, dan menggenggam peluang yang ada itu sangat penting.

Belum tentu dia menerima rasuah. Akan tetapi bijaknya dia mencari, memahami dan memanfaatkan peluang itu yang membantu dia berjaya.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...
"Demi masa. Sesunggunya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula yang berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."
Al-Asr (1-3).

Friday, March 11, 2011

Bencana alam lagi. Kali ini di Jepun... dan di Adelaide pula bencana masyarakat.

Tsunami melanda Jepun. Jumlah kematian dan kemusnahan, anggaran kerugian masih belum diumumkan.

Amaran juga dikeluarkan terhadap Filipina, Indonesia, New Zealand, Papua New Guenea. Kebanyakannya di negara sekitar Asia Pasifik.

Bencana ini tak boleh dielakkan lagi. Saintifiknya, proses ini memang akan berlaku dalam kitaran masa tertentu.

Secara rohaniahnya, ini ujian Allah.

Teladani apa yang diajar oleh Allah melalui saintifik, dan insafi apa yang Allah sampaikan melalui rohaniahnya.

Sayangnya, di Adelaide semasa berlakunya tsunami ini dua imam Masjid Marion (sudah tentu beragama Islam) bersama dengan pengikut mereka masing-masing bergaduh sesama sendiri, di dalam rumah Allah. Sehingga terpaksa dileraikan oelh pihak polis. Astaghfirullah... memalukan Islam.

Kawan saya cakap, "kenapa tak diturunkan saja bala di Jepun tu, bawa ke sini?"

Eh, banyak dah rupanya amal dia.

Thursday, March 10, 2011

"Sesuai tak hujah ni?"

Mencari kerja sangat susah. Nak dipanggil menghadiri temuduga untuk kerja pun susah. Apatah lagi nak ditemuduga, nak dapatkan kerja itu.

Kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, masih banyak jawatan kosong belum diisi oleh graduan. Sebabnya i) graduan memilih kerja dan ii) jauh tempat tinggal.

Bunyinya macam negatif, tapi kalau dilihat dari sudut lain:

i) Graduan memilih kerja kerana gaji yang ditawarkan terlalu sedikit. Tak mampu untuk dibuat berbelanja, apatah lagi nak membayar hutang sedia ada (PTPTN etc).

ii) Jauh dari tempat tinggal memang lojik. Sedangkan kos untuk pengangkutan ke tempat kerja, kos belanja makan dan kos rumah sewa, sara hidup jika bekerja jauh dari tempat tinggal jauh meninggalkan titik pendapatan. Jadi buat apa bekerja. Baik lagi duduk di kampung, tolong ringankan beban ibu dan ayah dengan kerja rumah dan urusan keluarga.

Mungkin, ini adalah alasan orang yang malas. Tapi ada lojiknya.

Wednesday, March 9, 2011

Saya Mahukan Subsidi Saya!

Prakata - Saya adalah peminjam PTPTN, dan juga penerima Biasiswa JPA. Terima kasih kepada pemerintah kerana memberi saya peluang apa yang saya telah perolehi. Akan tetapi elok kalau ada kaedah penambahbaikan dalam sistem sedia ada.



Ini bukan soal politik. Ini soal dan pandangan berkenaan sistem.

Baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia mengatakan (di Melbourne) yang biasiswa kepada pelajar-pelajar Malaysia bukanlah satu perbelanjaan akan tetapi satu pelaburan untuk kepentingan negara masa depan.

Saya setuju.

Itu biasiswa. Bagaimana pinjaman pendidikan?

Ini bukan membandingkan biasiswa dan pinjaman, dalam bentuk definasi berbeza.

Akan tetapi ini persamaan yang kedua-duanya untuk pendidikan, kedua-duanya untuk kepentingan masa depan negara.

PTPTN - satu badan yang mengendalikan hal pinjaman pendidikan kepada bakal pelajar yang akan menyambung pengajian ke peringkat institusi pendidikan tinggi. Kepada pelajar yang dari latar belakang keluarga kurang berkemampuan, PTPTN adalah saluran yang sangat baik.

Saya salah seorang dari peminjam.

Kini, sebagai peminjam saya dikehendaki membayar semula pinjaman secara bulanan kepada PTPTN. Kalau saya mempersoalkan hal ini sesudah mendapat segulung ijazah, bermakna saya bukanlah orang yang mengenang budi. Kenapa saya sanggup membayar secara bulanan untuk membeli komputer riba @ kereta, tetapi tidak kepada pinjaman yang telah membantu saya mendapat segulung ijazah? Bukan bererti saya mengutarakan pandangan bermaksud saya tak bersyukur. Ini sekadar pandangan.

Saya berbalik kepada pernyataan pemimpin utama negara, yang bantuan biasiswa atas pelajar yang berkelayakan adalah satu pelaburan untuk negara. Tidak dinafikan lagi, akan tetapi adakah pasti yang pelaburan itu akan membuahkan hasil yang benar-benar masak? Kekadang ada sahaja pemegang biasiswa hanya berjaya di peringkat rendah dan menengah tetapi kandas di peringkat tertinggi. Ada juga penerima biasiswa ini yang berjaya, akan tetapi 'terlupa' membalas jasa kepada tanah air dengan berbakti di negara asing.

Peminjam dana pendidikan pula, ada antara mereka yang kurang bernasib baik untuk mendapat biasiswa tetapi sebenarnya sangat berpotensi. Ada antara mereka yang benar-benar bergelar 'somebody' selepas pengajian. Bahkan ada juga dari mereka ini yang tidak meninggi diri.

Kasihannya kepada peminjam dana pendidikan ini, mereka tidak mendapat bantuan sewajarnya yang lebih suka saya katakan sebagai 'subsidi pendidikan' di peringkat tertinggi. Setiap bulan mereka ini terpaksa membayar kepada PTPTN, apabila terlewat, dikenakan 'bayaran denda' dan sentiasa 'diikat' undang-undang (kemungkinan disaman) sekiranya terdesak dan tidak mampu membayar selama 3 bulan berturut-turut. Sedangkan mereka ini juga menabur bakti kepada Malaysia, kepada negara, kepada keluarga mereka dan kepada bakal anak cucu mereka. Bahkan penjamin mereka juga sentiasa 'diancam' tindakan undang-undang sekiranya berlaku masalah kepada peminjam (diingatkan kebanyakan penjamin bagi peminjam adalah ibu-bapa mereka).

Jika pun benar mereka ini tidak bernasib baik untuk mendapat biasiswa awal-awal dahulu, mengapa tiada sistem yang memudahkan peminjam-peminjam ini? Contohnya memberi diskaun kepada peminjam yang membayar secara konsisten selama 3 tahun berturut-turut.

Ini bukan bersangka buruk, berdasarkan pemahaman singkat saya pihak berwajib kurang berkeyakinan dalam pelaburan pendidikan mereka.

Andaian awal mereka, belum pasti produk pendidikan ini akan kembali menyediakan output lanjutan kepada negara pada masa akan datang. Kerana itulah, jangan beri diskaun tetapi ambil keuntungan daripada mereka-mereka ini.

Tipikalnya, kalau pemerintah boleh berbelanja (bukannya melabur) memberikan subsidi untuk tidak menerima untung dalam jual beli petrol, kenapa tidak pendidikan? Kalau pemerintah boleh menyediakan subsidi yang berbilion untuk jalan raya, petrol, makanan asas dan pelbagai lagi, mengapa tidak pendidikan? Adakah kerana jualan produk-produk ini (jalan raya, petrol, makanan asas etc) SUDAH PASTI akan dapat untung baliknya dan ada pembelinya, sedangkan pelaburan pendidikan masih TIDAK PASTI? Kalau betul seperti apa yang dikatakan pemimpin utama negara, melaburlah dengan cara yang betul.

Perkara asas memanglah makanan, tempat tinggal, pakaian. Tetapi jarang yang menyenaraikan pendidikan dalam senarai paling atas apabila memberi jawapan kali pertama.

Jadi, kepada pemerintah, saya mahukan subsidi pendidikan saya. Bukan untuk saya, kerana saya tahu tidak mampu berbuat apa-apa sekarang. Akan tetapi untuk anak cucu saya.

Wallahua'lam...

Tuesday, March 8, 2011

Penterjemah Maklumat

Pandai belum tentu cerdik.

Bodoh tidak bermakna tidak bijaksana.

Licik, sememangnya bahaya.

Dalam dunia yang penuh dengan maklumat kini, semua orang boleh mendakwa dia tahu pelbagai perkara. Jika dia dibekalkan dengan sesuatu perolehan data/maklumat, mudah untuk seseorang mengawal seseorang yang lain, mahupun organisasi yang lain.

Audiens pula, terus ditipu buta-buta. Jika benar seseorang itu mempunyai maklumat, akan tetapi penyampaiannya, interpretasinya belum tentu benar dan sewajarnya.

Bagaimana pemilik maklumat menterjemah maklumat itu yang paling penting.

Jahat hatinya, maka terjemahannya cenderung ke arah maksud yang tidak baik.

Baik hatinya, maka terjemahannya cenderung ke arah maksud yang lebih memanfaatkan, dan tidak berbaur kepentingan individu.

Sekiranya anda memiliki maklumat, jangan salah tafsir kepada orang lain hanya untuk kepentingan diri.

Wallahua'lam...

Saturday, March 5, 2011

Jangan Ikut Resmi Orang

Akhirnya rakyat di Malaysia semakin terpengaruh.

Apabila orang di luar berdemonstrasi, kita pun berdemonstrasi. Bila orang sibuk memperkatakan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara, kita pun sibuk memperjuangkan isu yang sama.

Tunaikan dulu hak sebagai manusia kepada manusia yang lain, sebelum menuntut hak kita daripada orang lain.

Kebebasan bersuara? Sia-sia. Kalau diasaskan dengan pelantar agama, ilmu, timbangrasa dan rasional yang kukuh baru sesuai. Tanpa semua itu, kebebasan bersuara cuma medan menyebar fitnah dan merosakkan ukhuwah.

Apabila orang di luar menuntut supaya pengurus dan jurulatih pasukan bola sepak meletak jawatan, kita pun turut sama mengikut resmi itu. Kasihan pada pasukan Kedah. Kalaulah pengurus pasukan ada kuasa memecat penyokong dari menyokong pasukannya, kerana tingkah laku tak rasional, saya rasa pasti ramai pengurus berbuat demikian.

Adakah kerana kita membayar wang atas sesuatu perkara, kita mempunyai hak atas sesuatu perkara itu? Ingat yang bukan semua itu milik kita. Kita membayar sejumlah wang untuk tujuan kesihatan kepada Doktor. Apabila kita sihat, adakah 'semua nilai kesihatan' itu jadi milik kita? Apabila kita sihat, kita laburkan pula kesihatan itu untuk bekerja supaya boleh menyara anak dan keluarga. Jadi bukan semua yang kita bayar pada awalnya, hanya untuk kita.

Jangan bersikap tidak endah. Akan tetapi jangan pula terlalu mengikut emosi.

Pada pemimpin, pengurus dan segala bagai orang yang namanya mengetuai organisasi, amanah yang dipikul bukan peluang untuk mengambil kesempatan. Tunaikan amanah sebaik-baiknya. Kalau berbuat kesalahan, tak salah untuk mengaku kekurangan kita dari awal, dan terima nasihat dari orang lain. Bukankah semua manusia dicipta saling menyokong satu sama lain. Individu itu bukannya pandai semua aspek.

Semoga zuriat kita, generasi akan datang diselamatkan dari kekurangan dan kesilapan kita. Amin....

Friday, March 4, 2011

Khutbah Jumaat

Hari ini saya solat Jumaat di UniSA, kampus Mawson. Bukan di Wandana, ataupun UniAdelaide, ataupun City Masjid. ALhamdulillah, khutbah di sini amat menarik untuk didengar. Lebih praktikal dan lebih menarik perhatian. Walaupun cuma khutbah tadi disampaikan selama tak sampai 10 minit.

Suka untuk saya berkongsi isi khutbah jumaat yang didengar hari ini.

Khatib berkhutbah yang kandungan Al-Quran mula dikumpulkan untuk dijilidkan pada zaman saidina Abu Bakar As Siddiq. Sejarah bermula apabila Abu Bakar berjumpa dan berbincang dengan saidina Omar Al Khattab, berkenaan peri pentingnya menjilidkan Al-Quran setelah ramai hafiz Al-Quran mati syahid dalam peperangan dengan golongan yang tidak ingin membayar zakat.

Selepas itu, saidina Abu Bakar As Siddiq dan saidina Omar Al Khattab berjumpa dengan Zaid bin Thabit, merupakan seorang yang sanagt jujur, dipercayai dan juga adalah orang yang menghafal Al Quran. Atas kelebihnnya, beliau diamanahkan oleh Abu Bakar untuk menguruskan hal mengumpulkan Al Quran untuk dijilidkan.

Isi khutbah ini mengejutkan saya yang selama ini hanya mengetahui Al Quran dijilidkan pada zaman saidina Othman ibn Affan. Kata khatib, pada zaman saidina Othman, Al Quran mula dijilidkan dengan mashaf yang sama dan mula diedarkan ke negeri-negeri lain. Akan tetapi sejarah pengumpulan Al Quran pula bermula sejak zaman pemerintahan sahabat yang pertama selepas Bagin Muhammad sallallahualaihiwassalam.

Ini berbeza dengan pengumpulan kitab Bible, di mana kitab agama Kristian itu hanya mula dikumpulkan dan dijilidkan selepas beratus-ratus tahun oleh Ahli-ahli Kitab. Dek kerana itu, banyak kesilapan dan pengolahan yang berbeza dengan ayat asal yang diturunkan kepada rasul pada zaman sebelum Islam itu.

Banyak lagi sebenarnya sejarah Islam yang belum saya ketahui. Moga saya terus diberi peluang untuk mempelajari dan mengetahui tentang Islam dan ilmunya.

Thursday, March 3, 2011

Sakit itu...

Semua orang pernah merasa sakit. Secara fizikal, sakit boleh datang kerana luka, dicubit, terjatuh, terhantuk, tersepak meja. Spiritualnya, sakit datang dalam bentuk sedih, cemburu, rasa tak dihargai, risau, susah hati dan tidak khusyu'. Bahkan mungkin banyak lagi.

Kita diingatkan supaya sentiasa mengingati masa sihat sebelum sakit, dan menghargainya. Supaya kita sedar dan akan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik sewaktu kita sihat. Manakan tidak, jika kita sakit, pastinya kurang kemampuan kita melakukan apa-apa jua perkara.

Apabila sakit, kita tak boleh tumpu pada pelajaran. Tak mampu memandu kenderaan, hilang selera makan, tidur tidak lena, badan sentiasa lesu dan juga susah hati.

Dalam pada sakit, kita juga tak mahu menyusahkan orang lain. Seboleh-bolehnya biarlah kita sendiri menyesuaikan diri berdepan dengan sakit itu. Akan tetapi mampukah kita?

Jadi sentiasalah ingat, sihat sebelum sakit. Kerana jika rezeki kita selepas sakit mungkin mati pula yang menjelang. Buatlah yang terbaik. Itulah kelebihan dan hikmah sentiasa mengingati sakit, tak lupa juga mati.

Memang pedih merasa sakit. Tapi cubalah bertahan selagi mampu.

Wassalam...

Wednesday, March 2, 2011

Ade Lade Pt 2


View of Adelaide, from Mount Lofty Summit.

Himeji Garden, a garden with Japan features.

Mawson Lakes Motel, just beside UniSA campus.

They use light to 'paint' the building. So that they can change the colors frequently, 3 times in 10 minutes. Amazing what.

Im just happy to take pictures of bee and flowers.

Whoever loves to watch Star Wars, Im the one have been fight them. This moment is just after I beat them straightly with only a punch. Hahaha..!!

Tuesday, March 1, 2011

Ade Lade


A sign for broadcast building owned by government, very much like Angkasapuri.


I dont know what is the name of this shrub. Its lush at the end of winter, before the season turn into spring.


Red always associated with flowers. It can attract you since you know how to use color pencils in your childhood.


But it does not mean white not appropriate for flower.

Email sharing - Biar cukup duit selepas majlis kahwin

CYBERITA Online Forum

URL: a href="http://http://cyberita.asia1.com.sg/mforum/story/0,6879,182922,00.html?">

SAYA ingin merujuk isu wang hantaran dan belanja perkahwinan yang dibincangkan di ruangan Forum. Saya memang tidak setuju tentang keperluan wang hantaran yang saya anggap sebagai satu kelemahan amalan orang Melayu kita.

Kebanyakan orang kita bergaji tidak tinggi dan selalu hadapi masalah kekurangan perbelanjaan harian. Malah ada yang sukar bayar bil api air dan ada juga yang tidak cukup dari segi belanja sekolah.

Anehnya, apabila anak hendak berumah tangga, mereka sanggup berusaha membuat majlis perkahwinan yang besar belanjanya dan melakukan perkara-perkara tidak perlu dan kolot. Mereka bermegah tentang majlis itu dan mendabik dada tentang wang hantaran yang tinggi.

Semua ini, bagi saya, adalah perbuatan dan perbelanjaan yang sia-sia dan membuang wang sahaja. Kenapa kita perlu beri wang hantaran yang bukan satu kewajipan dan pada 'harga pasaran'?

Akibatnya, yang menerima padah adalah pasangan itu sendiri, khususnya pengantin lelaki yang terpaksa menyediakan jumlah wang yang besar.

Saya sendiri tahu ada lelaki yang bermain nombor ekor kerana berharap menang dan menerima jumlah wang yang besar untuk membiayai majlis perkahwinan dan wang hantaran.

Malah ada juga ibu bapa pengantin yang menggunakan wang hantaran anak mereka untuk selesaikan hutang mereka. Ini termasuk wang itu digunakan untuk membiayai majlis perkahwinan itu yang bermakna mereka sebenarnya tidak mampu berbelanja untuk majlis perkahwinan.

Ramai anak kita yang sekadar ikut amalan bodoh ini dengan memberi wang hantaran dan akhirnya wang simpanan semuanya habis.

Kini ada sebilangan anak muda yang enggan mendirikan rumah tangga kerana tidak cukup wang hantaran. Jika bakal mentua berdegil mahukan wang hantaran, maka semakin ramailah pasangan tidak akan berumah tangga.

Cakap tidak serupa bikin? Anak saya sendiri baru-baru ini mendirikan rumah tangga dengan wang hantaran $0. Bernikah di pejabat nikah dan majlis kenduri kesyukuran hanya menelan belanja $295. Saya punya wang simpanan yang mencukupi tetapi tidak mahu terikut-ikut dengan amalan menganjurkan majlis perkahwinan yang hanya men,jejas masa depan anak.

Saya berpegang pada prinsip, ‘ada duit selepas kahwin, bukan buang duit di majlis kahwin’. Kita sebagai orang tua mesti main peranan dalam memastikan masa depan anak kita bermula dengan cara baik dengan mempunyai wang simpanan yang mencukupi demi melayari kehidupan mereka sebagai suami isteri.

Syed Muravvat Hussain