Tuesday, August 16, 2011

Apa Kata Orang Lama?

Ada orang lama cakap begini:

"Dulu di zaman aku, kami seronok bermain di tali air. Airnya masih bersih, ikannya boleh ditangkap dengan tangan. Bukan macam sekarang."

"Kalau aku dan kawan-kawan aku dulu boleh sudahkan PhD dalam masa 4 tahun, kenapa tak boleh orang-orang sekarang siapkan dalam masa yang sama? Patutnya boleh lebih cepat lagi sebab sekarang dah ada internet."

"Aku ingat lagi dulu bekerja tak macam sekarang. Bosnya baik-baik aja. Sekarang bos orang muda, baru naik dah berlagak. Mintak itu ini. Tak dihormatnya orang berpengalaman macam aku ni."

"Masa aku kecik-kecik dulu, puasa seronok. Tak panas macam sekarang. Sejuk aja. Waktu maghrib rasa hening dan selesa. Sekarang malam pun berpeluh."

Aduhai orang lama. Itu dahulu dan bukan sekarang. Zaman berubah dan cabaran juga bertambah. Kalau dulu orang susah mencari maklumat, sekarang orang sibuk nak mengesahkan ketulenan lambakan maklumat. Kalau dulu orang berkerjaya sibuknya tak seberapa, dek kerana persaingan global orang sekarang sibuknya bagai nak gila. Dulu cuacanya baik-baik aja sebab pencemaran kurang. Sekarang panas sebab asap yang dilepaskan sejak dari zaman orang dahulu terkumpul sampai sekarang. Dulu senang nak cari ikan di tali air, sekarang dah habis dek kerakusan guna tanah.

Orang dahulu, terima kasih kerana berkongsi cerita. Terima kasih kerana tak lokek pengalaman lama. Cuma cabaran berbeza mengikut masa. Perbandingan itu boleh cuma janganlah seperti diperlekeh generasi X dan Y. Ikutkan cerita, susah orang sekarang, panas zaman sekarang, tingginya cabaran zaman sekarang dek kerana orang dulu yang tak begitu menyumbang untuk orang sekarang.

Alhamdulillah, mujur hanya segelintir sahaja orang lama yang sebegitu.

No comments:

Post a Comment