Friday, August 26, 2011

Apa Yang Berlaku Itu Kerana Diri Kita Sendiri

Bila kita ada masalah, biasanya kita cenderung melihat apa punca luar yang menyebabkan sesuatu berlaku. Jarang kita muhasabah, mengapa sesuatu berlaku atas alasan kesilapan diri sendiri.

Asasnya mudah. Setiap dari kita, hambaNya Yang Maha Esa akan dipertanggungjawabkan atas setiap apa yang kita pimpin - termasuklah diri sendiri.

Dan balasan Allah itu tak semestinya sama dengan buruk yang kita lakukan. Kekadang ia datang dalam zahir yang berbeza tapi dengan nilai dan maksud yang sama, supaya kita berfikir. Ini yang selalu kita lupa dan leka.

Kalau di jalanraya, kita berhenti untuk membantu memberi laluan kepada kereta dari haluan lain. Bila tiba giliran kita menunggu lama untuk masuk ke simpang, dan ada kereta lain yang memberi laluan pada kita, adakah itu kereta yang sama dengan kereta yang kita bantu tadi?

Kita banyak bersedeqah pada faqir dan miskin yang mengemis di tepi jalanan. Sebagai ganjaran zahir, adakah nanti akan ada orang memberi kita sedeqah di tepi jalan sebagaimana kita memberi pada orang? Tak mungkin? Mana tahu Allah sediakan ganjaran biasiswa untuk belajar kepada anak kita. Mana tahu juga ALlah balas dengan kenaikan pangkat untuk kita.

Melihat dari perspektif lain, isu jumlah gereja dan kuil yang semakin bertambah. Adakah kerana kita merobohkan masjid-masjid sedia ada dan Allah membalas kepada qaryah di sesebuah kawasan itu dengan menambahkan jumlah gereja dan kuil? Tak pula kita lihat masjid-masjid dirobohkan dan digantikan dengan gereja dan kuil ataupun tokong. Tapi Allah hendak hambaNya berfikir. Kerana kita punya masjid yang besar, kita ada masjid yang cantik, tapi tidak diimarahkan oleh masyarakat setempat. Setiap waktu solat cuma satu saf sahaja. Jemaahnya tidak ada. Oleh itu Allah balas dengan ketidakstabilan politik, masalah ekonomi, kebergantungan pada kemajuan negara luar, masalah sosial dan jenayah, isu murtad, dan macam-macam lagi. Kerana kita tidak meneliti apa yang dituntut oleh Allah dan RasulNya. Kita tidak muhasabah diri, mencari kekurangan diri yang menjadi punca sesuatu masalah berlaku. Kita cenderung melihat faktor luar yang kononnya mempengaruhi setiap masalah. Akhirnya gaya hidup Islam cuba hebat dicanang di bibir kita sahaja.

Wallahua'lam...

1 comment: