Tuesday, August 9, 2011

"Makan ingat orang belakang"

Dalam kemuliaan Ramadhan, dalam kita sibuk menunaikan kewajipan berpuasa dan mengawal pelbagai bentuk nafsu, kita juga diasuh untuk berjimat. Kalau ke bazaar, mesti berjimat. Beli apa yang patut, yang hendak di makan dan boleh di makan sahaja. Jangan berlebih-lebih sebab akan jadi pembaziran. Ada juga didikan berjimat yang melarat hinggakan semasa hendak menyambut Aidilfitri. Beli baju yang harga sederhana. Kalau tahun lepas bajunya masih elok dan cantik, tak salah untuk dipakai lagi... Baguslah. Benda baik mesti dikekalkan dan ditingkatkan lagi pada masa-masa akan datang.

Tapi kekadang kita terlupa berjimat benda-benda yang lebih asas.

Berjimat air dan elektrik. Puas aku tegur beberapa orang, kalau mandi biarlah sekejap-sekejap. Badan dah bersih dah baik sangat. Takkanlah kita nak biar sampai bilik mandi tu banjir baru nak berhenti mandi. Jawabnya dah berbuka boleh mandi lama sikit.

Setengah orang pula, kalau buka TV dan kipas, tak bertutup 24 jam walaupun tak ada orang yang betul-betul menggunakannya. Belum kira lagi yang tak switch off plug point charger handphone. Jawabnya, bulan Ramadhan ni panas, kipas kena selalu pusing. Benda kecil tapi kalau berterusan dan dibiarkan sahaja, impaknya tinggi.

Ada orang menjawab, "Aku bayar bil, ikut aku lah nak guna sebanyak mana. Itu yang aku selesa." Kiranya dia selesa TV dibuka tanpa tutup, kipas beprusing tanpa henti, air paip melimpah-limpah? Ini bukan soal kita mampu menanggung bil atau tidak. Ini soal penjimatan untuk kegunaan masa depan. Kita tahu, tapi kita tak sedar, yang air tawar yang bersih digunakan kita setiap hari itu adalah sumber terhad. Jumlah air tawar di dunia yang boleh igunakan manusia kurang dari hanya kira-kira 3%. Nak tunggu berhujan pun belum tentu air akan masuk ke kawasan tadahan. Air dikitar semula tetapi tidak boleh diguna semula. Air yang bersih selepas rawatan itu gunanya untuk dikumbah ke lautan bagi mengurangkan kadar pencemaran. Elektrik pula, tak sampai 30% pun janaan elektrik di Malaysia hasil dari turbin elektrik, apatah lagi photovoltaic di bumbung-bumbung bangunan. Elektrik yang kita jana dari sumber kitar semula sangat sedikit. Kira-kira 90% yang menampung penggunaan seluruh di Malaysia janaan elektrik adalah dari bahan mentah petroleum.

Itu baru cerita di Malaysia. Belum penggunaan sumber di negara-negara berkapasiti tinggi seperti China, United States, Jepun dan India.

Oleh sebab penggunaan sumber yang tinggi, kita disaran untuk berjimat. Bayangkan, kalau dalam bil yang dihantar ke setiap rumah tu, bagi setiap unit penggunaan elektrik ada juga dikenakan charge untuk generasi akan datang, mesti kita merungut. Kenapa pulak nak kena bayar semua ni. Aku guna untuk diri aku saja. Bukan untuk anak-anak aku (Entah panjang umur atau tidak untuk dapat zuriat). Tapi itulah hakikatnya. Kita meminjam dunia yang sedia ada dari anak-anak kita, dari generasi akan datang. Jadi jangan melampau sangat menggunakannya.

Selalu mak aku mengingatkan aku di meja makan, "Makan lauk tu ingat juga 'orang belakang'." Tak salah kalau diaplikasi dalam hal ni. "Guna air dan elektrik tu, ingat juga 'orang depan'."

Jadi eloklah diamalkan berjimat. Tarbiyyah Ramadhan bukan hanya untuk mengawal nafsu makan dan minum, nafsu melihat keluk badan wanita, nafsu mengumpat dan mengata buruk orang di sebelah kita, nafsu bongkak dan tak sedar diri. Tapi juga medan untuk kita mengawal bagaimana untuk berjimat menggunakan sumber. Ingatlah 'orang depan' sikit.

No comments:

Post a Comment