Monday, September 26, 2011

Audit Sesi Menipu Diri Sendiri?

Pada suatu hari, seorang pengurus sibuk menyelesaikan segala urusan dokumentasi berkaitan pentadbirannya. Kesibukannya hari itu luar biasa memandangkan hari itu, hari istimewa. Pejabatnya akan dikunjungi auditor yang juga autoriti yang akan menganugerahkan sijil ISO.

Sebagai satu entiti kecil, 'kejayaan' jabatannya dipilih untuk diaudit merupakan satu kebanggan besar, tapi juga satu bencana yang luar biasa baik.

Manakan tidak. Kalau gagal di peringkatnya, banyaklah masalah yang akan timbul, dan akhirnya menyulitkan lagi keadaan organisasi secara keseluruhan untuk dianugerahkan ISO.

Terdorong dek rasa tanggungjawab yang tinggi, pengurus ini bermati-matianlah mengarahkan semua staf bawahannya bersedia 200%. Kemaskini dokumen, penambahbaikan pelaksanaan, semakan fail-fail dan macam-macam lagi. Semuanya dibuat berbulan-bulan sebelum hari audit tiba.

Akhirnya pada hari itu, sebelum auditor tiba ke jabatannya, Pengurus masih lagi bertungkus lumus. Buat kali yang terakhir, Pengurus mengarahakn bermacam-macam lagi gerak kerja kepada staf bawahannya untuk disiapkan.

Malang tak berbau. Oleh sebab tekanan kerja yang terlalu banyak, salah seorang staf bawahannya pitam. Dia muntah dan terjatuh, tak mampu bangun dengan sendirinya. Dia cuma kerani biasa, tidak mendapat latihan insentif seperti seorang bergelar pegawai. Mungkin kerana beban kerja dan daya tahan yang tidak sepadan, dia jatuh pada hari itu. Panik semua isi pejabat, termasuklah si Pengurus.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Pada masa itu jugaklah auditor sampai ke muka pintu. Bertambah merah padam muka si Pengurus. Auditor yang melihat keadaan itu, terus bertanya kenapa semua ini terjadi.

Diceritakan secara jujur oleh Pengurus, auditor mendengar dengan baik. Staf yang pitam tadi dibawa ke klinik untuk rawatan dan diberi cuti rehat untuk 2 hari. Manakala sesi audit berjalan semula seperti biasa.

Cukup dari kisah ini. Ini kisah benar, tapi dengan sedikit olahan.

Salah si Penguruskah? Atau memang lemah si staf bawahan? Atau silap audit?

Bukan salah sesiapa. Mendapatkan pensijilan bertujuan untuk mendisiplinkan semua entiti dan jabatan di Malaysia supaya berdisiplin dalam menyiapkan kerja, cekap dan tidak buat sambil lewa.

Sayangnya disiplin itu masih belum dipupuk di dalam jiwa semua kita. Sebab itulah kita cuma bertungkus lumus hanya untuk audit, bukan untuk tugasan kita. Kita buat kerja supaya mendapat sijil. Bukannya untuk memberi khidmat seperti yang sepatutnya kita dibayar gaji.

Nampaknya macam sesi audit ini ialah sesi untuk kita menipu diri sendiri.

Thursday, September 22, 2011

Sedikit Perkongsian Berkenaan Sistem Ujrah PTPTN

Semalam saya berbual dengan salah seorang pegawai perundangan di PTPTN. Beliau menjelaskan isu persoalan saya tentang beberapa perkara yang dinyatakan dalam perjanjian sistem Ujrah. Untuk berkongsi, saya sediakan dalam bentuk penulisan ringkas dan point form.

1) Secara principle, katakan seorang pelajar yang telah mengambil pinjaman PTPTN selama 3 semester. Pada semester ke-4 sekiranya apa-apa berlaku kepada peminjam (seperti kemalangan yang menyebabkan kematian atau keilatan kekal) yang juga menyebabkan pelajar tidak dapat menyambung pengajian, jumlah pinjaman 3 semester pertama tidak perlu dibayar semula. Ia akan dibayar oleh pihak Takaful.

2) Katakan seorang peminjam yang telah bergraduat, dan membayar mengikut jadual tanpa tunggakan selama 3 tahun. Pada tahun keempat, peminjam meninggal dunia dan tempoh bayaran balik masih berbaki dengan jumlah tertentu. Jumlah baki pinjaman yang tinggal tidak perlu dibayar semula. Ia akan dibayar oleh pihak Takaful.

3) Katakan seorang peminjam yang telah bergraduat, dan membayar tidak mengikut jadual sepatutnya dengan tunggakan selama 3 tahun. Kekadang bayar, kekadang tidak. kalaupun bayar, tidak penuh mengikut jumlah yang ditetapkan. Pada tahun keempat, peminjam meninggal dunia dan tempoh bayaran balik masih berbaki dengan jumlah tertentu. Juga, masih ada jumlah tunggakan yang tidak berbayar secara penuh semasa hayatnya untuk 3 tahun pertama. Dalam kes ini, jumlah baki pinjaman yang tinggal (iaitu baki pinjaman tahun keempat dan seterusnya) tidak perlu dibayar semula. Ia akan dibayar oleh pihak Takaful. Akan tetapi, jumlah baki tunggakan (yang tidak dibayar secara sempurna oleh peminjam dalam tempoh 3 tahun pertama semasa hayatnya perlu lah dijelaskan oleh penjamin ataupun waris peminjam.

4) Katakan seorang peminjam yang telah bergraduat, dan berdasarkan pinjaman dia perlu menjelaskan jumlah hutang pinjaman dalam tempoh 10 tahun (berdasarkan jumlah pinjaman). Sekiranya dia mampu menjelaskan hutang pinjaman kurang dari tempoh yang diberi (katakan 5 tahun selesai menjelaskan semua hutang), peminjam berhak meminta semula lejar premium dari pihak PTPTN. Lejar premium merupakan satu jumlah yang disediakan sebagai jaminan risiko peminjam tidak membayar mengikut jadual atau tidak mengikut masa yang ditetapkan (sekiranya saya tidak salah).

5) Peminjam yang tamat cemerlang (CGPA first class) berhak untuk menuntut penukaran status pinjaman kepada biasiswa kepada PTPTN. Bermakna, pelajar dalam status ini tidak perlu membayar semula pinjaman PTPTN. Ini merupakan hadiah yang diberikan oleh kerajaan kepada pelajar yang bertungkus lumus dalam pengajiannya. Akan tetapi, permohonan perlu dibuat. Ia tidak akan diberi secara automatik.

Ini apa yang dapat saya kongsikan. Maafkan saya sekiranya masih menyediakan maklumat yang salah atas kekurangan saya sendiri.

Sedikit komen. Pada saya, PTPTN atas arahan kerajaan masih bertindak seperti sebuah bank dengan polisi bayaran balik yang diketengahkan. Apapun, segala usaha yang dibuat untuk membantu meringakan pelajar masih dilihat relevan dan baik.

Jadi saya sambut baik usaha yang dibuat.

Wednesday, September 14, 2011

Perkhidmatan

Dunia perkhidmatan memerlukan pengendali dan sistem berkesan untuk memastikan hasil kemajuan sesuatu urusan dapat dicapai dalam masa dan kualiti yang ditetapkan. Sayangnya tiada sistem yang sempurna, begitu juga tiada manusia yang lengkap serba serbi tanpa mampu membuat kesalahan.

Kombinasi human error and system lacking ini menjurus kepada satu kesimpulan - penganiyaan yang tidak disengajakan kepada customer.

Untuk itu, kepada mereka yang pernah menjadi mangsa perkara ini, diharap dapat bersabar. Mungkin petugas itu sudah tua dan tidak mampu bertugas secara agresif. Mungkin juga prosedur di dalam sistem kurang dijelaskan di dalam dokumen.

Ada kemungkinan juga, kita sendiri yang salah.

Aku Merungut

Semalam bermesyuarat dan bekerja hingga larut malam. Pulang ke rumah jam 1 pagi. Itu semua adalah kerja menyelesaikan masalah orang lain, bukannya masalah aku sendiri.

Pulangan materialnya? Gaji yang tak seberapa. Apa boleh buat. Nama pun makan gaji. Cuma sesekali terfikir nak cabut lari buat bisnes sendiri.

Kata rakan aku, kita memang bekerja kerana wang. Untuk survival hidup di medan yang perit ini. Yang selalu menyebabkan kita leka dan lalai dengan hal-hal ketuhanan.

Sebab itu ada kalangan staf yang berkelahi kerana Anugerah Cemerlang. Ada sesama staf yang memaki kerana penerbitan jurnal. Ada staf yang iri hati dan berdengki kerana agihan jadual kerja lebih masa yang tidak sama rata. Si pegawai menunjuk hebatnya. Si kerani keras dengan egonya. Kita berjuang semuanya atas sebab kerana wang, untuk survival hidup kita.

Akhirnya, masalah tak juga selesai. Yang lama berlalu, yang baru menjengah.

Monday, September 12, 2011

Sedihnya dengan Apa Yang Berlaku

Sedih aku bila semakin teruk orang berbalah tentang sejarah. Sampaikan ada yang sanggup mengubah sejarah, memperlekehkan Bapa Kemerdekaan, meminta maaf dengan British kerana kononnya tersilap memanggil mereka penjajah, macam-macam lagi.

Dengan mudahnya kita terus bersetuju yang sejarah puluhan tahun itu perlu diubah.

Dengan mudahnya kita menerima setiap apa yang ditulis di dalam blog.

Dengan mudahnya kita percaya setiap apa yang tidak kita setuju dengan parti pemerintah itu adalah salah yang total.

Aku bukan memihak mana-mana pihak. Tapi aku kasihankan rakyat yang rata-ratanya semakin teruk dijajah. Dulu kita dijajah minda kerana mengikut rentak budaya barat. Sekarang semakin parah kita dijajah bila dengan mudahnya kita hendak mengubah sesuatu tanpa kita serahkan pada orang yang sepatutnya untuk mengepalai jalan penyelesaiannya.

Kita terima kata seorang dari kata jemaah, kerana yang seorang itu bukan dari parti yang kita suka. Kita obses dengan ceramah di medan yang salah. kerana penyampai itu orang yang kita suka dan kita rai.

Akibatnya kasihan pada cendekiawan yang bertungkus-lumus mencari kebenaran, kerana kita lebih hebat dari para cendekiawan, hanya selepas kita membaca blog sdan mendengar ceramah. Siapa sebenarnya kita?

Akhirnya kita tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya, kita tiada yang adilnya.

Monday, September 5, 2011

Kawasan Hutan

Bulan Oktober ini akan diadakan sambutan Hari Perhutanan Sedunia. Bagaimana pemimpin-pemimpin di kementerian dan kerajaan negeri mengadakan sambutannya aku kurang pasti. Yang jelas, Fakulti Perhutanan UPM akan membuat sambutan itu selama seminggu dan pelbagai acara akan diadakan. Sambutan ini diadakan di peringkat universiti dan kebanyakan aktiviti akan berlangsung di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong. Hutan ini diserahkan kepada Fakulti Perhutanan untuk dikelola dan diurus secara mampan dalam satu perjanjian dengan Kerajaan Negeri Selangor selama 90 tahun bermula pada tahun 1996. Siapa sangka, di tengah-tengah hiruk-pikuk kesibukan metropolitan, adanya Green Lung yang boleh dikatakan luas dan tidak terusik oleh pembangunan.

Ok, tinggalkan tentang sejarah. Aku bukan nak berkongsi kisah sejarah. Serba sikit untuk pengenalan je.

Sambutan Hari Perhutanan Sedunia yang dianjurkan oleh Fakulti Perhutanan turut mengadakan bermacam-macam program. Contohnya pertandingan fotografi, Bird Race, Orienteering, Paintball dan pameran pendidikan. Pada akhirnya akan dianjurkan satu upacara penanaman pokok dengan kerjasama antara syarikat minyak terkemuka dunia, ExxonMobil.

Sebagai antara institut yang mengetengahkan bidang pengajian perhutanan di peringkat tinggi, Fakulti Perhutanan memang sentiasa aktif menganjurkan program-program kesedaran dan pengembangan secara tidak langsung seperti yang diadakan pada tahun ini. Pada umumnya, diharapkan menerusi program-program semacam ini akan membuka mata orang ramai yang bidang perhutanan bukan hanya berkisar pokok dan aktiviti penebangan balak sahaja. Orang awam harus berhenti 'melihat' perhutanan dengan imej renjer beruniform hijau tua, memegang chain saw dan juga kawasan yang seram lagi menakutkan. Tapi kita semua perlu sedar yang kawasan hutan merupakan punca pembekal kebanyakan sumber asli langsung dan tidak langsung yang kita gunakan dan yang kita manfaatkan selama ini. Air, madu lebah, rotan, pollinators, tanah, kayu balak, peluang rekreasi, ruang pembuangan sampah haram, terapi bunyi air terjun, kesejukan asli, primat, budaya orang asli, batu-batuan sungai, dan bermacam-macam lagi termasuklah penyakit dan penawarnya.

Aspek perhutanan di zaman penuh mencabar ini perlu dilihat secara meluas dan kritikal. Kalau dibiarkan sahaja jumud dan ketinggalan, aku yakin yang potensi untuk kawasan hijau di Malaysia ini terus dipelihara semakin tipis dek kerana kerakusan pembangunan. Untuk pastikan tindakan pengurusan, pemeliharaan dan pemuliharaan dibuat secara efektif, aku lihat integrated approach sangat-sangat berbaloi untuk diketengahkan. Macam mana? Senang saja. Pendekatan yang libatkan orang awam dan bukan hanya agensi-agensi tertentu.

Semasa aku berbual dengan graduan Kochi University, Jepun, kawasan hutan di sekitar daerah itu lebih 70% dan hampir 80% dari jumlah keluasan hutan yang ada di sana adalah milik dan hasil usaha orang persendirian, bukannya kerajaan. Dah menjadi industri di sana. Pengamatan mata aku sendiri pula di Adelaide, orang tak mampu memiliki kawasan hutan sendiri yang berluas ratusan ekar. Sebagai gantinya, mereka sediakan pula kawasan berhutan di kawasan bandar dengan adakan dominasi urban forest. Penghuni negara kangaroo ini suka menanam pokok dengan berbagai strata untuk memastikan green corridor di kawasan perumahan mereka tak terputus. Juga ada yang sediakan artificial nest untuk possum, birds, dan lizards. Sampaikan ada orang yang sanggup melabur ribuan dollar untuk sediakan laman dengan tanaman yang sihat dan subur. Ada laman hadapan dan belakang rumah seperti itu satu kebanggaan buat orang-orang di sana.

Tak perlu kita jadi seperti orang negara lain. Elok kita bentuk identiti dengan cara kita sendiri. Identiti kita menjaga hutan dengan kaedah dan jalan kita sendiri. yang penting aku nak tekankan di sini, orang-orang di negara maju menghargai kawasan-kawasan berhutan dan mereka melihat secara kritikal setiap isu kawasan hijau di tempat masing-masing. Menggunakan sumber kawasan hutan sebagai punca rezeki juga jalan yang baik. Jadi bagaimana kita?

Kita jangan bencikan pembangunan. Cuma bagaimana kita melestarikan pembangunan di sekitar kita, itu yang menjadi persoalan.