Wednesday, January 25, 2012

Tahniah Badan Beruniform

Kasihan anak kecil dijadikan tebusan dalam kes di ibu negara baru-baru ini.

Apapun masih punya teladan dari apa yang berlaku.

Setidak-tidaknya saya nampak, orang ramai masih percaya dan perlukan POLIS untuk menjaga keselamatan mereka, menyelamatkan keadaan dan suasana.

Selepas POLIS asyik dimaki-hamun, dicaci anjing kerajaan, dan bermacam lagi bentuk hinaan, berita kanak-kanak 10 tahun menjadi tahanan orang kurang siuman yang disiarkan di televisyen menunjukkan POLIS masih sangat relevan.

Jelas bahawa setiap caci maki orang sebelum ini kepada POLIS adalah akibat obsesi dan fanatik politik, hinggakan gagal memikirkan mana baik, mana buruk. Dek kerana itu, kerana politik, kita bencikan POLIS dan caci maki POLIS selepas mereka diarahkan membuat benteng semasa perhimpunan BERSIH dan menangkap orang-orang kenamaan tertentu. Akan tetapi kita bersorak dan mengucapkan terima kasih bila mana POLIS menyelamatkan anak kecil tadi. Kita juga yang menelefon POLIS, bukannya orang Mongolia atau pegawai di kedutaan Turki.

Saya boleh katakan, POLIS juga manusia yang ada buat kesalahan. Mereka makan gaji dan mereka tidak mahu pun menganiayai orang lain sesuka hati. Walaupun ada segelintir yang salah guna kuasa, tetapi bukan semua dan tidak wajar dibusukkan terus institusi beruniform yang bertanggungjawab menjaga keamanan itu. Jadi janganlah kita memandang semuanya buruk pada POLIS.

Kalau ada mereka buat salah dan silap, banyak saluran penyampaian untuk memperbaiki keadaan. Medan jalanan dan cacian makian di laman sosial adalah kaedah kurang bertamadun dan mencerminkan gaya fikir kelas bawahan. Apa yang lebih utama, kita jalankan tanggungjawab kita - menjadi warganegara dan rakyat yang baik.

Untuk POLIS dan pemimpin-pemimpin politik, mereka juga warganegara dan rakyat Malaysia, yang tak lari dari ikatan tanggungjawab bersama - menjadi warganegara dan rakyat yang baik.

*Tahniah juga kepada Jabatan BOMBA yang berjaya mengawal kebakaran dahsyat di KL Sentral baru-baru ini.

Tuesday, January 17, 2012

Isu dalam Berita 2: Juga di Luar Berita

Kalau masih teringat, zaman sekolah rendah dahulu murid-murid diajar untuk mengenalpasti yang mana satu isi tersurat dan isi tersurat. Dengan cara ini, barulah dapat dibuat rumusan dan ditingkatkan pemahaman sesuatu artikel/penulisan.

Sekarang ni, ramai yang praktikkan pun apa yang diajar guru-guru dulu. Terima kasih cikgu.

Lagi isu dalam berita. Kalau hujung minggu lepas, dalam satu akhbar arus perdana ada keluarkan berita yang suruhanjaya berkaitan yang menyiasat segala kepincangan pengurusan wang or so called rasuah keluarkan statistik yang jabatannya telah meningkatkan hasil jumlah penagkapan rasuah. Kalau dulu 9 billion, tahun 2011 berjaya membongkarkan hasil rasuah berjumlah 10 billion. (lebih kurang macam tu lah). Dan itu dianggap sebagai satu bentuk kejayaan suruhanjaya tersebut.

Betullah, itu kejayaan suruhanjaya tersebut yang berjaya membongkarkan beberapa kes rasuah yang patut dipuji atas komitmennya. Itu juga membuktikan suruhanjaya tersebut menjalankan tugas sebaik mungkin dalam hendak menangani gejala rasuah di kalangan populasi orang tak sedar diri di Malaysia yang sangat ramai, walaupun jumlah kakitangannya agak terhad. Tahniah.

Dan maksud tersiratnya pula, masih terlalu lemah kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan dari peringkat awal lagi. Paling kritikal, nilai etika moral juga susut. Ini menyebabkan terpaksa dilaburkan jumlah perbelanjaan yang tinggi untuk proses 'baikpulih'. Alangkah baiknya kalau etika moral individu yang terlibat tidak seperti begitu, kerja pemantauan dan penguatkuasaan peringkat awal berjalan dengan baik, tiada ketirisan maka dapatlah dikurangkan gejala rasuah. Barulah suruhanjaya yang disebut tadi akan keluarkan statistik baru yang berbunyi - "Tahun 20XX hasil siasatan suruhanjaya ini mendapati tiada kes rasuah yang boleh dibongkarkan atas ketelusan pengurusan dan juga kesedaran etika moral untuk menjaga kepentingan bersama di kalangan masyarakat." Alhamdulillah kalau begini. Namun tiada siapa yang sempurna. Semua orang terdedah melakukan kesilapan.

Yang dah terlajak, bertaubat dan jangan buat lagi.

Ini pula isi tersirat di luar berita.

Dalam akhbar alternatif hari ini pula, ada dimuatkan perihal mufti yang bermuzakarah dan mengeluarkan fatwa bahawa bank susu adalah haram untuk mengelakkan kekeliruan nasab dan menjaga keturunan. Yang lebih menarik, ulasan pembaca di bahagian bawahnya. Semua mengulas dan mempersoalkan mengapa yang ulama tersebut berat sebelah dengan kerana tidak mengeluarkan fatwa rasuah dikalangan pemimpin itu haram dengan kata-kata cacian dan rasanya tidak berapa manis didengar.

Tak tahulah. Sekarang ni bila ulama keluarkan apa-apa fatwa, mesti orang kaitkan dengan politik. Hanya jika ulama tersebut menyebelahi pendirian individu tersebut aka parti politik tersebut, barulah orang akan katakan yang ulama itu betul. Kalau tak, habislah dicaci maki secara terbuka ulama tu. Sejauh mana kita tahu ulama tu tak keluarkan fatwa? Entah-entah ada je keluarkan fatwa cuma media yang tak nak masukkan sebagai headline, siapa tahu?

Di luar berita, semua pembaca sibuk menegakkan pandangan sendiri. Pandangan sendiri yang hanya menitikberatkan keuntungan sebelah pihak. Keadilan sekarang cuma ada dalam politik, bukan dalam hal kehidupan. Bahkan hidup telah menjadi politik. Keadilan itu, cuma dikira benar bilamana memberi kelebihan kepada kita. Akhirnya, tiada apa yang adil pun.

Wallahua'lam...

*Dalam Al-Quran pun perlu tahu yang mana satu ayat Muhkamat dan Mutasyabihat... tapi jangan tafsir sendiri-sendiri pulak, kena berguru.

Monday, January 9, 2012

Isu dalam Berita

Semalam dalam siaran Buletin Utama ada ketengahkan isu 7 kawasan perumahan menghadapi masalah bau busuk sampah selepas 30 tahun lamanya dan masih belum selesai hingga kini. Kasihan.

Ada antara temuramah yang dibuat, penduduk memaklumkan yang masalah bau busuk tersebut mula berlaku secara kritikal sekitar.

Apa kisahnya?

Sekitar tahun itulah teknologi mula mengambil tempat dan negara di serata dunia mula didedahkan dengan isu food security. Sekitar tahun itu jugalah industri komputer mendapat perhatian di beberapa buah negara Asia, tak dilupakan Malaysia walaupun kita bermula agak lewat.

Temuramah itu menunjukkan yang isu pembuangan sisa bukanlah isu remeh, dan ia bermula sejak puluhan tahun lalu. Cuma di sesetengah tempat, ia masih mampu dikawal. Dukacita untuk kawasan dalam siaran semalam, ia tak diurus dengan berkesan.

Masalah yang serupa akan berlaku di tempat lain juga, kalau kita semua - pihak berwajib dan pengguna itu sendiri, tidak bertindak dan berubah sekarang.