Monday, February 27, 2012

Hanya Perkongsian Dari Orang Lain Kerana Saya Belum Mampu

Saya bukanlah ahli agama, jauh sangat dari status bijaksana. Nak kata cerdiknya lebih dari orang, tidak juga.

Mungkin hanya kerana saya ada belajar tentang sesuatu isu, maka saya ada secebis idea untuk dilontarkan tentang apa yang saya belajar itu. Sebab perkongsian itu juga satu dakwah. Saya ketengahkan dakwah melalui mesej kebaikan yang saya rasakan mungkin mampu untuk saya fikirkan, dan garapkan dalam bentuk tulisan.

Cuma hasil tulisan saya tidaklah sehebat mana. Saya cuma mampu mengajak orang membuat apa yang saya buat, untuk lebih mengejar kesejahteraan bersama.

Isu yang sentiasa saya ulas, lebih berkisar pada kes-kes berkenaan alam sekitar, berkait dengan peluang, kelebihan, ancaman dan kelemahannya. Cuma kekadang saya kaitkan sedikit dengan keadaan semasa manusia, sebab kita ini pengguna alam sekitar - juga khalifah di buminya.

Semasa bujang, banyak saya praktikkan menjaga kebersihan. Selepas bergelas suami, saya ingatkan isteri saya supa teruskan habit menjaga kebersihan. Bila bersama pelajar-pelajar saya, acapkali saya ingatkan supaya menjaga kebersihan dan menghargai alam sekitar. Jangan buang puntung rokok merata-rata, jangan membazir penggunaan elektrik dan air. Ingatan saya pada pelajar juga adalah ingatan kepada diri sendiri. Ini juga salah satu perkara yang saya kirakan proses perkongsian ilmu yang mampu saya ketengahkan.

Di masa dulu, ada seorang kawan mengingatkan saya, cuba sebaik mungkin kaitkan apa yang saya pelajari dengan agama. Kerana dengan keperkaitan agama itu, barulah kita nampak keindahan Islam. Baru kita sedar yang agama itu berkait dengan alam, dan alamlah juga yang berkait dengan agama. Supaya kita sedar, SEBAB KITA SENTIASA LUPA, LALAI DAN LEKA.

Hasilnya, saya temui beberapa ayat Quran yang dikaitkan dengan alam ini, dan bagaimana kita khalifah bumi yang diamanahkan Allah untuk memanfaatkannya. Cumanya hasil penemuan itu terlalu sedikit kerana terhadnya daya fikir saya dan lemahnya insan bernama manusia ini. Maka saya hanya mampu berkongsi melalui penceritaan bergambar kerana tidak mampu menginterpretasikan secara berlebihan. Takut dikategorikan orang yang bukan bidang, bercakap hal yang bukan bidangnya.

Hingga kini, saya masih belum mampu menghasilkan nukilan berkesan dan efektif, menyentuh hati dan minda manusia lain untuk berfikir tentang kepentingan alam sekitar.

Akan tetapi saya suka benar untuk berkongsi dua artikel yang saya kirakan amat berkesan dalam mendidik diri kita, menghargai kebersihan dan alam sekitar menurut kacamata Islam.

Elok benar kalau diluaskan pembacaan untuk artikel dari DrMaza dan SaifulIslam ini.

Semoga kita sedar, sesi kutip sampah di awal waktu persekolahan sebelum masuk ke kelas waktu kecil dahulu adalah untuk melatih diri kita menjaga kebersihan. Bukan sekadar memori untuk diimbau atau memenuhi jadual sekolah.

No comments:

Post a Comment