Wednesday, September 12, 2012

Sekeliling Kita

Banyak yang saya ingin tulis sejak dua-tiga bulan kebelakangan ini. Sayangnya bila menulis, ianya tidak dapat disudahkan. Mungkin ia bukan rezeki semua untuk sama-sama berkongsi apa yang patut. Kenapa saya tak dapat sudahkan penulisan? Banyak puncanya, yang mana antaranya kerana terlalu banyak 'kegelisahan dan kerisauan'.

Di UPM tempat di mana saya bertugas, pelajar baharu sudah mula membondong-bondong memenuhi medan kampus. Sedang jadual padat dengan pelbagai unjuran perancangan Kolej, Jabatan, Fakulti dan Universiti, mana boleh saya letakkan meraikan keluarga dan sambutan Ramadhan dan Aidilfitri di tempat kedua. Kesibukan memenuhi kehendak KPI (yang tak kunjung sudah, yang takkan cukup-cukup) juga salah satunya.

AKADEMIK

Hal akademik bukan hanya di tempat kerja saya, bukan hanya tentang kerja saya. Hal akademik juga berlaku pada orang terdekat saya.

Adik saya yang bongsu mengambil UPSR tahun ini. Moga dia berjaya, memahami apa yang dipelajarinya selama ini, dan menterjemahkan dalam bentuk kecemerlangan peperiksaan.

Saya pula, menanti entah sampai bila panggilan menyambung pengajian, selepas semua syarat-syarat dipenuhi, tetapi permohonan tersangkut kerana kerenah prosedur dan birokrasi. Jadi siapa kata semua tentang luar negara baik-baik belaka? Belum tentu juga, kerana tanah air kita juga ada uniknya yang tersendiri. Jadi sambil-sambil saya teruskan merujuk makalah akademik berkaitan.

Siapa tahu, saya berjumpa banyak penulisan berkenaan keadaan pelancongan dan perkaitannya dengan Islam di Malaysia. Tak sangka ada sebilangan penulis luar negara yang bukan Muslim menulis secara terperinci, termasuk dari aspek ekonomi, promosi dan publisiti serta politik. Sedikit sebanyak saya tahu yang pelancongan di Malaysia, dengan kesediaan Islam, banyak menarik minat pelancong asing ke negara ini, hasil usaha kerajaan pemerintah. Sayangnya bilamana ada artikel yang menjelaskan bahawa status 'kebersihan longkang, kedai makan dan laluan pejalan kaki' tidak mencapai taraf sepatutnya sungguhpun banyak dinyatakan di dalam Al-Quran bahawa Islam membawa pendekatan bersih. Dan agak mengejutkan bila artikel tersebut turut mengetengahkan masalah kebersihan di negeri Pantai Timur walaupun terkenal dengan corak pemerintahan Islam.


Antara lokasi pelancongan yang saya lawat baru-baru ini


KO-KURIKULUM

Soalan pelajar kepada saya:

"Kenapa bertungkus-lumus menghantar penglibatan pertandingan sukan, kebudayaan, akademik dan sebagainya? Kalau menang pertandingan, ada ganjaran lebih kah kepada peruntukan kolej?"

Jawapan saya:

"Bila pelajar menang sukan, debat, pertandingan nyanyian, pantun mahupun zapin, kolej tak pernah dapat apa-apa ganjaran berbentuk kewangan. Bahkan kolej terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih untuk perlaksaan program. Tapi ini satu bentuk pelaburan. Pelaburan untuk membentuk kumpulan pelajar dengan dedikasi tinggi, kesungguhan berjuang tanpa putus asa, keyakinan diri dan semangat kerja dalam pasukan serta melatih pelajar berkomunikasi, membentuk kefahaman diri, meningkat keupayaan pemikiran kritis."

Pelajar universiti boleh ke kuliah, mengambil nota dengan cermat, mengulangkaji pelajaran tanpa jemu dan menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang. Akan tetapi semua itu hanya sekadar membuka 'Abstract Conceptualisation' atas sesuatu perkara (ilmu) sebelum mereka mempraktiskan apa yang telah dipelajari. Akan tetapi, penglibatan aktiviti ko-kurikulum dapat membantu pelajar dalam proses 'Reflect Observation' dengan hasil yang lebih memberangsangkan. Manisnya proses sepanjang penglibatan itu akan kekal lama dalam diri pelajar, dan akan menjadi model ikutan untuk pelajar itu sentiasa maju ke depan, tidak terlalu merendah diri. Penglibatan dan kesukarelawanan adalah satu bentuk pengalaman yang mengajar (Experiential Education) yang sangat positif.

Teori ini bukan saya yang cipta, tapi Kolb (1984) dalam gambaran Experiental Learning Cycle. Bahkan dalam Al-Quran pun ada menyebutnya dalam surah Al-Mu'minun, ayat 3. Sejarah Nabi Muhammad s.a.w sendiri menunjukkan baginda sudah mula terlibat mengembala kambing dan berniaga pada usia muda, satu bentuk penglibatan khusus (sungguhpun bukan dalam bentuk ko-kurikulum khas sepertimana tahun milenia) asuhan Allah s.w.t supaya Baginda punya lebih tanggungjawab dan lebih matang.


Penglibatan dalam Pertandingan Orienteering mungkin boleh membantu self-development

Ia mungkin boleh datang dalam pelbagai bentuk, tak semestinya program anjuran universiti. Pelajar boleh dengan sendirinya secara sukarela melibatkan diri dalam bermacam-macam aktiviti kemasyarakatan di luar sana. Apa yang penting, ialah mengambil peluang itu untuk menimba pengalaman.

Jadi libatkanlah diri dalam pelagai peluang yang baik untuk memajukan diri semasa masih bergelar pelajar. Kerana bila kita sudah mempunyai tanggungjawab khusus dan tidak sempat mengumpul pengalaman, kita akan ketinggalan berbanding orang lain.

Tambahan jawapan saya pada soalan tadi:

"Kolej tak dapat apa-apa."

SANA SINI

Dah semakin banyak bencana alam bukan? Taufan Isaac, banjir di Thailand, vortex di Michigan, kebakaran hutan di Colorado, gempa di Jepun dan Indonesia, macam-macam lagi. Banyak juga bencana sosial. Curi motor di khalayak ramai, langgar lari anak kecil, penculikan, rogol sesama mahram, bapa saman anak-anak saman bapa di mahkamah, salah tafsiran dan penggunaan bahan keagamaan, macam-macam lagi.

Ianya terjadi, tidak lain dan tidak bukan hanya untuk kita berfikir, dan bertindak memperbetulkan keadaan.

RAMADHAN & SYAWAL

Ini Ramadhan dan Syawal istimewa buat saya, kerana pertama kalinya disambut bersama isteri. Lebih menggembirakan isteri sedang hamil, jadi puasanya penuh dan sentiasa dapat bersahur bersama saya. Apa yang istimewa sangat? Pada yang dah berkahwin, jawapannya ada pada diri sendiri. Pada yang belum nanti rasalah sendiri ya. Seperti biasa, bulan mulia ini kita kejarkan ibadat. Di lokasi saya berada, alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik.

Syawal yang datang pun meriah. Tahun ini di Perak. Sepanjang perjalanan, tiada tanda menampakkan bilangan kereta akan berkurangan, tiada tanda harga makanan akan turun, dan tiada tanda saya dapat lebihkan penjimatan perbelanjaan. Itulah pusingan fitrah sebagai manusia. Jika dulu kita mengumpul duit raya sehingga beratus-ratus jadinya. Sekarang kita memberi duit raya, menyedia pakaian raya untuk orang, menyedia bahan dan juadah untuk masakan, yang belanja semuanya mencecah ribu-ribu juga. Tak perlu sesalkan dan takutkan apa-apa, kerana setiap rezeki itu di sana. Alhamdulillah setiap dari kita masih dapat mencium tangan orang tersayang sehingga kini.


Sepanjang Ramadhan ini saya sering terfikirkan satu perkara.

Sangat sedih bila melihat anak Islam Melayu kita menunggu di hadapan masjid setiap minggu menadah tangah meminta derma, menunggu bantuan. Sangat sedih bila melihat permohonan kutipan derma surau di sekolah lama saya di Selangor masih dibuat walaupun sudah 2 tahun ia dimulakan. Sangat sedih bila melihat anak Islam Melayu kita berbaris panjang meminta bantuan zakat. Timbul persoalan, tidak cukup ramaikah dari kita (Muslim) ini berzakat, bersedekah dan menderma? Seorang kawan saya berkongsi cerita, satu sekolah jenis kebangsaan (Cina) berjaya mengumpulkan RM30,000 sehari melalui program Sambutan Hari Guru, yang khas diadakan untuk penajaan aktiviti pelajar. Masjid kita, rata-ratanya RM6-8 ribu sebulan.

Ia bukan salah kerajaan, bukan salah agama, bukan salah ibu dan ayah. Ia kerana kita tidak cukup berusaha. Salah satu asasnya, kita mesti menjadi seorang yang berjaya dan kaya. Bila sudah kaya, baru kita mampu banyak menderma. Orang Muslim tidak ramai yang kaya. Kalaupun kaya, terjebak pula dengan wabak kedekut dan bakhil. Berzakatlah, berdermalah, dan berusahalah menuntut ilmu memajukan diri, agama dan bangsa selagi mampu. Ingatlah yang golongan Muslim yang fakir itulah yang lebih banyak terdedah kepada kekafiran.

Kalau hari ini kita memberi zakat, siapa tahu esok kita pula jadi salah seorang penerima zakat.
Mungkin hari ini kita masih mampu menderma, mungkin juga esok kita yang terpaksa mengutip derma.

Awal Syawal lalu, dalam perjalanan pulang semula ke kota raya, bila singgah di 7Eleven terdetik di hati saya mereka yang bekerja ini tidak balik beraya kah?

Kalau di televisyen kita lihat anggota badan beruniform mengorbankan masa dan keluarga demi tugas sungguhpun menjelang Aidilfitri. Tapi jangan pula kita lupa pada petugas tol, petugas kedai seperti 7E dan Tesco, pemandu bas, penerbit rancangan televisyen dan radio, petugas di stesen minyak, juruteknik syarikat bekalan air dan elektrik, pencuci bangunan dan tandas R&R, pemunggah di pelabuhan dan ramai lagi. Ada di kalangan mereka ini yang ingin bercuti bersama keluarga tapi tidak dapat berbuat demikian kerana arahan kerja, untuk mendapat gaji menyara keluarga. Bayangkan Aidilfitri tanpa mereka ini, kita pastinya haru biru. Jadi berterima kasihlah kepada orang disekeliling kita, bukan hanya ketika Aidilfitri tetapi bila-bila masa. Kekosongan yang ditinggalkan oleh kita telah berjaya diisi oleh mereka.


Tahniah kepada mereka yang bertugas


POLITIK & KEMERDEKAAN


Ramai artis kini menjadi ustaz dan ustazah, masih ada lagi berlangsung beberapa siri demonstrasi, yang menuntut pelbagai hak dan 'ganti rugi', dalam bentuk yang kita sendiri belum pasti.


Biar kita bertukar kerajaan, biar kita bertukar pucuk pimpinan, sebagai orang biasa, saya tidak harapkan lebih melainkan cuma masa depan yang aman dan sejahtera. Yang dimaksudkan aman dan sejahtera tidak semestinya masa depan dengan subsidi yang berterusan, atau kereta dengan harga yang lebih murah, atau bantuan pendidikan percuma, atau jaminan hak Melayu. Tapi ruang untuk semua isi penghuni Malaysia saling menghormati.

Yang sepatutnya kejarkan negara maju bukanlah seperti didefinasikan Amerika, Jepun atau Perancis (atau mana-mana negara maju lain) dengan kadar gaji yang baik, kemampuan @ kuasa beli yang tinggi dan sebagainya. Definasinya kita bentukkan sendiri, dengan acuan kita sendiri, dengan norma dan budaya baik kita sendiri, dengan adunan ahli-ahlinya sendiri. Negara maju yang kita kejarkan lebih harmoni dan istimewa dari apa yang kita faham selama ini, kerana bukankah merdeka kita ialah merdeka dari 'mereka'?



Jangan biar fahaman politik dan obses kepartian menguasai kita hingga tidak bekerja. Kerana yang lebih penting ialah memajukan diri. Cukup-cukuplah berpolitik sejak dari 2008. Kerana saya, kita semua sayangkan negara kita.



Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Salam Kemerdekaan
Ampun Maaf Zahir dan Batin