Wednesday, February 19, 2014

Persoalan Lalu

Lama dahulu ada saya menulis berkenaan persoalan bagaimana kita akan sentiasa menjadi orang yang dibelakang.

Dari sudut pandang sebuah negara, kita akan sentiasa di belakang. Kita akan sentiasa menjadi negara dunia ketiga.

Betulkah?

Ada kaedahnya untuk benar-benar menjadi juara yang di depan. Mujur berdepan kawan-kawan yang boleh memberikan jawapan dan pencerahan.

Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun, kita sudah pasti mencita-citakan untuk menjadi sebuah negara yang benar-benar mampu menguasai ekonomi, keselamatan, dan punya hak berdiri sendiri. Kita mahu diiktiraf sebagai sebuah negara maju. Mengapa perlunya pengiktirafan ini? Sejarah mengajar yang Portugis dahulunya beriya benar ingin menakluki Melaka antara sebabnya untuk mengejar Glory, menempa nama selepas Venice di Rom. Dek kerana itulah, pengiktirafan ini perlu, supaya pihak luar tidak lagi memandang kita sebelah mata tetapi melihat kita sebagai sebuah komuniti Islam terbaik.

Kita berlari dari titik mula, negara maju sedia ada juga sedang berlari tapi titik mula mereka nun jauh meninggalkan kita. Landasan negara maju juga lebih baik berumput dan tidak berbukit. Sedangkan landasan kita yang masih muda dan baru merdeka ini masih belum rata sepenuhnya, masih berliku tidak berumput tetapi penuh dengan kerikil dan tanah merah. Kerana dahulunya mereka yang menjajah kita beratus tahun lamanya. Dan kita hanya punya peluang untuk mengurus negara sendiri 57 tahun lalu.

Akibatnya, sekuat mana kita berlari, kita tetap tidak terkejar mereka.

Sahabat, jangan kita lihat dari aspek yang sama.

Untuk menjadi juara, dan tidak sentiasa tertinggal di belakang, biarlah kita berlari di landasan yang sama dengan pesaing kita. Biarkan kita menang dengan pesaing dari landasan yang sama, kita mesti menang dengan pesaing yang bermula di titik mula yang sama.

Dalam erti kata lain, biarlah kita menjadi negara maju dengan kekuatan tersendiri, dan dalam jalan tersendiri. Biar kita mengenalpasti apakah kekuatan sebenar kita, dan kita kuatkan kelebihan kita. Usah biarkan nafsu persaingan memakan diri, sehinggakan kita terlupa yang mana realiti dan yang mana fantasi.

Secara kasarnya, Malaysia hampir pasti tidak akan sesekali menang sekiranya (contohnya) bersaing dengan China dalam aspek sumber tenaga manusia (badminton?). Malaysia tidak akan menang dengan Sweden dalam hal hak asasi manusia. Malaysia akan sentiasa kalah dengan Jerman dalam hal penghasilan kereta. Malaysia akan dipandang enteng dalam hal teknologi ketenteraan jika disaingkan dengan Amerika.

Tetapi kita juara pertanian sawit menerusi FELDA, sampaikan Filipina dan Myanmar pun ingin meniru kita. Bukankah industri minyak soya negara barat (khususnya Amerika) terancam dengan kejayaan FELDA milik Malaysia. Tanah air kita ini juga juara dalam peneraju industri makanan halal dan perbankan Islam. Bukankah kita dirujuk oleh negara-negara Timur Tengah sendiri dalam hal perbankan Islam dan halal. Bahkan Jepun yang 'super pembersih' pun merujuk dengan Malaysia kaedah pengurusan makanan bersih menerusi aplikasi halal. Malaysia negara majmuk dengan kadar pecahan populasi yang kritikal juga berada antara 20 negara paling bahagia di dunia, hampir setara dengan Amerika dan Kanada.

Mungkin pasukan bola kita rankingnya tidak seberapa, akan tetapi alhamdulillah sudah lama kita memegang kejuaraan boling padang dan juga skuasy.

Ini antara kekuatan kita, landasan Malaysia. Banyak lagi sebenarnya (Petronas, Schomi etc). Kita gunakan kekuatan kita ini.

Jangan pula kita ingin menempuh landasan lain untuk bersaing, yang sememangnya kita sudah ketinggalan. Belum tentu juga masuk ke landasan lain jalannya lurus dan tidak berliku. Biarkan kita berlari di landasan kita, bergerak laju di atas landasan kita sendiri.

Tak perlu nak jadi juara hak asasi manusia dan kebebasan bersuara seperti negara lain, kerana bukankah negara kita berpaksikan Islam menerusi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

No comments:

Post a Comment